.. The Day After Tomorrow ..

Still there today for tomorrow?

Belasungkawa : Haji Abdul Ghani Salleh (1927 - 2009)

Hayati kisah belasungkawa yang dinukilankan oleh En Bahar (Lecturer aku sewaktu di Unit Falak, UDM KUSZA).. hayati perjalanan kisah perjuangan seorang Guru yang Mulia, Taulan yang Berbahagia ... Walaupun ada di antara kalian tidak mengenali Allahyarham, namun tidak salah untuk kita membaca dan menghayati kisah dan jasa beliau...

" Pada petang Khamis, bersamaan 6 Ramadhan 1430 saya memandu kereta dalam perjalanan ke Kampus Kota UDM. Dalam kerutan fikiran dek karenah kesesakan jalan raya, saya terpandang papan tanda Surau Jalan Bakti. Tiba-tiba, tangan ini menepis suis isyarat kereta masuk ke kiri. Harapan untuk menziarahi ’Guru yang mulia, taulan yang berbahagia – Tuan Haji Abdul Ghani Salleh’. Kali terakhir saya menziarahinya pada bulan Mei lepas sebelum saya berangkat menunaikan umrah. Walaupun saya ketahui beliau uzur, harapan masa bertemu ialah untuk mendengar perbualannya cerita tentang gerhana, Anak Bulan, penulisan baharunya atau cerita tentang anak muridnya. Selepas menekan loceng pagar rumahnya, isterinya keluar dan minta masuk kerana pintu tidak berkunci. Saya bayangkan Tuan Haji berada di kerusi kereta rodanya, dan akan menyapa saya dengan apa-apa sapaan yang beliau suka, dari panggilan Din, Baharrudin, Cikgu Din, Dr. Din dan kadang-kala memanggil saya dengan Profesor Din. Beliau adalah ’taulan yang berbahagia’, sentiasa ceria, dan suka berjenaka. Apabila saya bertanya kepada isterinya di mana Tuan Haji? Beliau menunjukkan sekunjur jasad yang sedang berbaring di atas katil di ruang tamu rumahnya, sambil menitis air mata. Saya mendekatinya dan amat terkejut dengan keadaan diri beliau. Saya tidak menyangka sama sekali beliau begitu uzur. Saya jadi tergamam, namun menggenggam erat tangannya. Isterinya, membukakan kelopak mata Tuan Haji, saya tidak pasti apa responnya. Saya cuba berkomunikasi dengannya, memperkenalkan diri, meminta maaf di atas sebarang salah dan silap serta mengucap terima kasih di atas segala-galanya. Memandang sayu wajahnya, saya bacakan acapkali ayat 7 dan 8 surah Adh Dhuhaa, sebagaimana biasa yang saya lakukan dalam situasi begitu. Saya meninggalkan rumahnya dalam keadaan sebak dan sempat menghantar sms hampir sedozen kepada rakan taulan di seluruh negara, memberitahu keadaan diri Tuan Haji.

Keesokkan paginya, sementara tunggu masuk waktu subuh pada pagi Jumaat, 7 Ramadhan, saya membaca surah Yaasin, tanpa tujuan yang khusus. Rasa hati memang tidak enak. Jam 7.30 pagi, saya mendapat panggilan telefon dari Saudara Azam (beliau pernah menggelarkan Haji Abdul Ghani sebagai Supernova Melayu), mengatakan ’Guru yang mulia, taulan yang berbahagia – Tuan Haji Abdul Ghani Salleh’, telah kembali ke rahmatullah. Setelah mengesahkannya dengan saudara terdekat beliau, saya menghantar sms kepada sejumlah penerima. Saya juga menelefon Dr. Rowi minta panjangkan berita ini kepada Ustaz Mohd. Nor Awang (anak murid beliau yang paling akrab, pernah membawa tukang urut dari Kota Bharu untuk mengubati gurunya). Saya ziarah jenazahnya kali pertama pada awal pagi dan datang semula dengan niat untuk melakukan solat jenazah dan menghadiri pengkebumiannya. Solat jenazah diimamkan anak saudaranya dari Kota Bharu yang turut sama beberapa pimpinan politik tempatan. Di tanah perkuburan Syeikh Ibrahim, Kuala Terengganu, upacara pengkebumiannya berjalan lancar. Hampir semua krew Unit Falak era KUSZA berada sepanjang upaca ini, sebelum ketibaan Ustaz Mohd. Nor Awang kemudiannya. Di tanah perkuburan ini, saya mendapat panggilan telefon dari seorang pegawai JAKIM yang hendak mengesahkan kematiannya tokoh ini. Jam 11.30 pagi segala-galanya selesai. Tinggallah bersemadi jasad ’Guru yang mulia, taulan yang berbahagia – Tuan Haji Abdul Ghani Salleh’, meninggalkan wakaf ilmu yang berkekalan, kenangan perguruan dan persahabatan.



Almarhum dilahirkan di Kampung Paya Keladi, Kuala Terengganu pada tahun 1929. Antara sumbangannya ialah menyusun pelbagai kaedah hitungan falak, termasuk waktu solat, arah kiblat, gerhana dan penentuan awal bulan hijri dalam 6 jilid monograf, setebal 1230 halaman. Begitu juga usahanya mencipta atur cara mesin kira saintifik yang memudahkan hitungan falak. Koleksi monograf yang almarhum susun menggambarkan kegigihannya dalam menyebar luaskan ilmu falak. Usahanya, bukan sesuatu yang dibuat secara sambilan, tetapi menggunakan khudrat, masa, tenaga dan wang ringgit yang jarang-jarang orang sanggup melakukannya. Termasuk juga kemurahan hatinya mengirim salinan nota secara percuma kepada sesiapa yang berhajat. Dalam usia yang lanjut masih berupaya merantau ke seluruh pelusuk negara, Negara Brunei dan Singapura apabila khidmatnya diperlukan, sama ada dengan menaiki bas, teksi atau kapal terbang, pilihan yang tidak dicereweti sangat.

Monografnya, walaupun tidak pernah diterbitkan tetapi tersebar luas penggunaannya. Digunakan pelbagai peringkat, baik oleh pelajar IPT untuk membuat tugasan mereka, profesional yang ’malu-malu kucing’ dan menjadi rujukan oleh mereka yang lebih amatur. Almarhum telah mengisi kekosongan tenaga pengajar sepenuh masa antara 1980-an sehingga akhir hayatnya. Institusi yang paling ketara memberikan penghormatan kepada beliau termasuklah KUSZA, INSANIAH, Majlis Ugama Islam Singapura dan Kementerian Agama Negara Brunei Darussalam. Pada bulan Februari tahun 2005, pihak Arkib Negara Malaysia Cawangan Terengganu/Pahang dan KUSZA telah menganjurkan Seminar Ketokohan Ilmuwan Falak bagi mengenang jasa tokoh ini.

Semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada roh Haji Abdul Ghani Salleh. ..."

*** Al-Fatihah **

Submitted by : Baharrudin Zainal

-Sumber dari :
http://www.falak.udm.edu.my/?news=yes&alink=20090830114808

0 comments:

Post a Comment